Antara dakwah dan rumahtangga mana yang lebih utama?
Kedua-duanya adalah aula, sama martabat kepentingan, wajib dilaksanakan dan perlu seiring.Tapi kalau suami tak izin, macam mana ye? Kalau taat pada suami, terabai amanah Allah tapi kalau teruskan dakwah, derhaka pula pada suami.Seandainya berlaku pertembungan pula, suami perlu isteri di sisi… isteri pula ada aktiviti dakwah yang khusus, mana perlu pilih? Sebenarnya, ada penyelesaian kepada masalah-masalah sebegini. Tapi, sebelum berumahtangga lagi wanita yang komited pada dakwah perlu sedar calon suami yang dipilih seharusnya di kalangan pemuda yang berpegang pada fikrah Islam dan bercita-cita untuk berjihad di jalan Allah. (salah satu ciri lelaki soleh mengikut pandangan ulama).
Namun, jodoh pertemuan di tangan Allah. Kalau ditakdirkan wanita solehah ditentukan berkahwin dengan lelaki yang tiada minat pada dakwah, masih ada jalan untuk menjayakan rumahtangga tanpa meminggirkan dakwah. Wanita solehah yang taat pada Allah wajib taat pada suami dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menguruskan rumahtangga. Keperluan suami dan anak-anak dipenuhi dengan sebaik mungkin dan tidak mengutamakan kerjaya melebihi rumahtangga. Namun, dalam urusan dakwah, keutamaan terhadap keluarga tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan atau menjadikan dakwah pilihan kedua atau sekadar aktiviti di waktu lapang. Tapi, keredhaan suami juga sangat penting dalam setiap langkah si isteri di atas jalan dakwah. Sekiranya timbul masalah, di situlah perlunya ilmu dan kesabaran untuk menghadapi situasi yang menekan. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Jangan korbankan salah satunya, cuba yang terbaik untuk mendapatkan keduanya. Setiap usaha dan kepayahan yang ditempuh untuk menjayakan rumahtangga dan dakwah akan diganjari dengan sebaik-baik ganjaran.Sebelum tu, kita bincangkan dulu hukum berdakwah.
Dalam Islam, hukum dakwah adalah wajib syarie, tidak gugur selagi seorang muslim itu masih hidup. Maka, sebarang kecuaian tidak melakukannya adalah dosa. Status kewajipannya adalah Fardu `ain, bukan kifayah. Perkara ini dijelaskan dalam Al-Quran dan hadith.
Hukum dakwah adalah wajib, taat pada suami juga wajib. Tapi perlu diingat, suami yang
menegah isteri dalam melaksanakan kewajipan adalah berdosa. Menegah perkara wajib membawa kepada maksiat kepada Allah. Dari segi feqah, isteri tidak wajib meminta izin suami untuk melakukan perkara-perkara wajib. Sebagai contoh, melaksanakan puasa wajib dan menunaikan haji. Sekiranya suami tak izinkan sekalipun, kewajipan tersebut tidak gugur dan melaksanakannya tetap fardhu Ain. Tapi dalam masalah haji, boleh wanita tersebut menunaikan haji walau tanpa izin suami dengan syarat ditemani oleh mahram yang thiqah (dipercayai). Tapi dalam bab-bab lain, seperti solat dan puasa,
tidak perlu kepada sebarang syarat untuk melaksanakannya walau tanpa izin suami kerana tiada ketaatan pada perkara mungkar.
Jadi, telah jelas tentang kewajipan dakwah dan isteri tidak perlu keizinan suami pada perkara-perkara wajib.Namun dalam isu menunaikan kewajipan dakwah, seorang isteri tidak perlu menjadikan dakwah sebagai alasan mengetepikan perasaan suami yang tidak ‘faham’ tentang jemaah dan dakwah. Dibimbangi rumahtangga akan retak dan suami menjadi semakin benci atau marah dengan tindakan isteri. Seandainya isteri jahil dalam memainkan peranan menyelesaikan konflik ini, pastinya rumahtangga tidak dapat mencapai nikmat kebahagiaan sebenar.
Langkah pertama yang harus diambil oleh si isteri, pastikan thabat(tetap) dengan niat untuk meneruskan dakwah walaupun suami agak liat atau tidak mengizinkan urusan dakwah dilaksanakan. Doakan supaya terbuka pintu hati suami dan diampunkan dosa atas kejahilannya tentang kewajipan dakwah.
Langkah kedua. Jangan sekali-kali melawan suami walaupun hati memberontak dengan tindakan suami yang mementingkan urusan peribadi berbanding agama. Pastikan kehendak suami dipenuhi dalam masa yang sama fikirkan kaedah untuk meneruskan dakwah. Perlu diingat, melaksanakan kewajipan tidak perlu pada keizinan suami dan taat pada suami hanya pada perkara ma’ruf. Dalam masa yang sama, hati suami sangat utama untuk dijaga. Jadikan redha suami sebagai cita-cita dalam setiap perkara. Jangan berhenti berdoa supaya suami redha malah turut serta dalam dakwah.
Langkah ketiga. Jangan sempitkan skop dakwah. Walaupun dakwah secara langsung dan berdepan dengan mad’u dan masyarakat adalah satu sunnah terbaik, masih lagi ada cabang-cabang dakwah yang boleh dilaksanakan mengikut kemampuan. Andainya suami tidak mengizinkan keluar rumah untuk aktiviti dakwah, cuba juga dengan menggunakan kaedah dakwah yang berbeza iaitu dengan dakwah bil katabah atau dakwah bil hal. Dengan kata lain, isteri masih boleh berdakwah dengan penulisan samada berbentuk risalah, atau menulis dalam blog atau email. Kalau masih terkekang oleh suami, cuba juga dakwah bil hal iaitu dengan menunjukkan contoh teladan yang baik melalui perbuatan, sikap, pandangan, tingkah laku yang positif, dan kerja-kerja amal yang dilakukan. Itupun masih dalam skop berdakwah. Dakwah bil hal atau dengan tauladan ini sangat berkesan dalam mendidik anak-anak, kaum keluarga terdekat bahkan masyarakat yang berurusan dengan kita. Dalam masa yang sama, teruskan berdoa supaya Allah merahmati suami dan terbuka pintu hatinya.Seandainya dakwah tidak dapat dilaksanakan kepada umum, pastikan roh dakwah wujud dalam rumahtangga. Mudah-mudahan dengan usaha yang istiqamah dan doa yang sungguh-sungguh, matlamat dan cita-cita dakwah akan tercapai.
Sebagai seorang muslimah, tanggungjawab dan amanah terhadap agama dan keluarga begitu besar, dan kelak akan dimintai pertanggung-jawabannya di hari akhirat.
Barakallahulaka.
Wallahua’lam
1 ulasan:
Saya mohon kerjasama dari tuan/puan yang dirahmati Allah sekalian untuk mengambil bahagian dalam kajian ini. Anda boleh klik pada pautan dibawah ini untuk menjawab soal selidik
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScu_Bgqf34gHpDVeNwcNcWKsgFLEQ5Q9cMgwVTX7D2pnpYm9w/viewform?usp=fb_send_fb
Catat Ulasan